
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini, rakyat Malaysia harus sentiasa menjaga hubungan baik, persefahaman dan perpaduan yang telah diamalkan sejak dari dahulu lagi.
Menurut Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Johor Bahru Cik Hajah Norakmal Muhammad kekuatan sesebuah negara dan kejayaannya adalah bergantung kepada sejauh mana sesebuah komuniti yang dibina dengan berbilang bangsa dan agama dapat mengekalkan ciri-ciri toleransi, hormat menghormati dan berkasih sayang.
“Saya percaya konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ketika ini sangat bermakna bagi mengukuhkan perpaduan masyarakat dalam komuniti setempat.
“Dengan kewujudan Komuniti Keluarga Malaysia seperti ini, pelbagai aktiviti dapat diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim agar kekal sepanjang masa amnya,” katanya ketika berucap semasa perasmian Semarak Gemilang@Komuniti Keluarga Malaysia Taman Desa Rahmat, Tampoi, di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Desa Rahmat Zahid Saniman, Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia Taman Desa Rahmat, Nahanazri Saniman dan penduduk setempat.
-ZS-