
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Lebih 40 acara dimasukkan di dalam Kalendar Pelancongan Labuan 2023 menerusi penganjuran acara oleh Perbadanan Labuan (PL) dan kolabarasi strategik dengan agensi kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PL Rithuan Mohd Ismail, acara-acara itu adalah sebagai satu wadah bagi menghidupkan semula sektor pelancongan yang merundum sebelum ini akibat COVID-19 di samping merangsang pertumbuhan ekonomi domestik di pulau itu.
“PL masih mengekalkan beberapa ‘signature event’ seperti Labuan International Sea Challenge (LISC), Borneo Arts Festival (BAF) dan Remembrance Day (RD). Menariknya pada tahun ini acara LISC mendapat penyertaan penuh seramai 229 pemancing dari dalam dan luar negara seperti Australia, Hong Kong, Macau dan Brunei berbanding tahun sebelum ini.
“Pada 2022, PL merekodkan kehadiran sejumlah 10,000 ribu pengunjung selama tiga hari semasa berlangsungnya BAF dan pada tahun 2023 ini PL mensasarkan peningkatan kehadiran pengunjung melebihi angka tersebut,” katanya dalam satu sidang media, di sini pagi tadi.
Jelas Rithuan, beberapa acara baharu turut diperkenalkan anjuran pihak swasta antaranya Labuan Mega Gaths & Autoshow 2023 yang dijangka akan diadakan pada bulan Mac ini.
“Selain itu, penganjuran International Cat Exhibition turut disasarkan akan menjadi tarikan kerana penglibatan penyertaan daripada luar negara,” jelasnya lagi.
Tambahnya, beberapa acara seperti X-Multisport Challenge, Labuan Ride 2023 (TSS), Labuan Team Time Trial (LTT) akan diteruskan selain mengadakan semula acara Cross Channel Labuan – Pulau Papan sempena LISC.
-ZS-