
BATU PAHAT, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 300 orang daripada pertubuhan bukan kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Perempuan Islam (LKPI), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), ‘Woman Institute’ (WI), Pandu Puteri, Ibu Tunggal Mekar dan lain-lain lagi telah menyertai program Bacaan Ratib Asmaul Husna di Rumah Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Batu Pahat, di sini semalam.
Program anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) dan Hal Ehwal Wanita (HELWA) itu bertujuan meningkatkan motivasi diri dalam kalangan wanita dengan mengalunkan bacaan Ratib Asmaul Husna yang diterajui Imam Masjid Sultan Ismail Marzaki A. Rasak.
Pengerusi PUSPANITA Batu Pahat Suzana Zainudin berharap agar program sebegini dapat diteruskan bagi membangkitkan semangat persaudaraan dalam kalangan golongan wanita di samping mengeratkan lagi hubungan.
Pembantu Hal Ehwal Islam Hairunnishah Noor Mohamed yang menyampaikan tazkirah ringkas pada program tersebut turut menghuraikan kebaikan bulan Syaaban.
“Bulan Syaaban merupakan bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW. Baginda mengamalkan pelbagai ibadah seperti berpuasa dan bersedekah.
“Marilah kita semarakkan bulan mulia ini dengan bersedekah kerana perkara ini merupakan amalan yang suci murni dan terpuji sebagai keprihatinan dengan nasib orang yang memerlukan,” ujarnya.
Hairunnishah turut mengingatkan semua muslimah yang hadir agar sentiasa mengamalkan nilai dan etika yang baik serta mengamalkan budaya infak dan sedekah dalam kehidupan seharian.
-ZS-