
Laporan/foto: Hafizah Rahim (Terengganu)
MARANG, 7 Mac (Malaysiaaktif) – Program ISN Social Talk Siri 1/2023 bertema lelaki, dengan tajuk ‘Lelaki dan Superhero Dalam Keluarga’ kelolaan Institut Sosial Malaysia (ISM) telah belansung semalam.
Program menampilkan dua panel yang mengupas tajuk penjagaan kesihatan lelaki dan hak lelaki sebagai bapa dalam institusi kekeluargaan.
Pendaftar Institut Sosial Malaysia (ISM), Mohd Kamal Azizi Shaadan telah merasmikan program yang diadakan di Dewan Auditorium Datuk Sri Haji Wan Mohd Nor, Akademi Bomba dan Penyelamat, Wakaf Tapai, di sini, semalam.
Mohd Kamal berkata, objektif penganjuran ISM Sosial Talk adalah sebagai wadah perkongsian isu-isu dan maklumat sosial.
“Selain mewujudkan ruang dan peluang yang lebih terbuka kepada pelbagai lapisan masyarakat, ISM juga membantu wujudkan jaringan kerjasama dalam komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, turut diadakan sesi perkongsian ilmu bapa yang berpengalaman menjaga anak autism oleh YM Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad dan perkongsian pengalaman anggota barisan hadapan ketika menangani krisis mahupun bencana oleh Alwi Ismail, Pegawai Bomba Kanan 1.
Turut diadakan pameran daripada rakan strategik ISN iaitu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Terengganu, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Yayasan Kebajikan Malaysia, Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), Jabatan Kastam, Penjara Marang dan Maritim Terengganu.
-ZS-