
Laporan/foto: Mohd Shazreen Suradi
MUAR, 3 Apr (Malaysiaaktif) – Bulan Ramadan kali ini disambut secara sederhana bagi kebanyakan warga Kampung Lenga dan kawasan sekitar selepas rumah mereka ditenggelami banjir bulan lepas.
Syarikat penyedia telekomunikasi Maxis dengan kolaborasi Jabatan Penerangan Malaysia telah hadir ke kampung ini untuk menyampaikan Sumbangan Kotak Makanan Pasca Banjir pada hari ini.
Wakilnya Hiu, berkata program ini merupakan Tanggungjawab Sosial Korporat daripada Maxis kepada mangsa banjir di negeri Johor.
“Walaupun ianya tidak seberapa tetapi diharap dapat menambah barangan dapur mereka,” katanya.
Sebanyak 1,000 kotak makanan mengandungi beras, susu, kicap dan pelbagai makanan asas yang lain disediakan untuk diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir seperti di Ulu Tiram, Batu Pahat, Muar dan Segamat.
Penghulu Mukim Lenga Mohd Fadzli Samian berharap mangsa-mangsa banjir bersabar menanti pembayaran bantuan kerosakan dan bantuan pembaikan perkakasan rumah yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Johor kerana ianya dalam proses semakan terakhir.
“Saya berharap agar penduduk kampung telus dan berintegriti ketika mengisi borang permohonan tempoh hari kerana tidak mahu permohonan mereka ditolak selepas siasatan oleh pihak berwajib,” katanya.
Penduduk kampung tersebut Nona Maryani, 78, berkata banjir kali ini agak luar biasa kerana rumahnya hampir tenggelam.
“Alhamdulillah, hari ini ada pihak yang sudi memberi sumbangan kotak makanan dan memberikan sedikit sinar bersempena bulan Ramadan.
“Ianya dapat menampung sedikit sebanyak keperluan harian dan ketibaan bulan Syawal kelak,” ujarnya.
-ZS-