
Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan/Sheikh Mohamed Nazim Sheikh Abd Kadir (Segamat)
SEGAMAT, 11 April (Malaysiaaktif) – Seramai 500 peserta hadir di program tahunan Majlis Khatam Al-Quran bersempena Majlis Tadarus Dan Khatam Al-Quran Peringkat Daerah Segamat di Masjid Bandar Putra, di sini kelmarin.
Majlis dimulakan dengan tadarus al-Quran selepas solat asar yang disertai oleh kakitangan awam Daerah Segamat, pelajar tahfiz serta kariah masjid.
Program tazkirah turut diadakan yang disampaikan oleh Kadi Daerah Segamat Mohd Hamizan Sayuti.
Katanya, umat Islam perlu melakukan lebih banyak aktiviti ibadah pada hari-hari akhir di bulan Ramadan.
“Marilah kita sama-sama kejar malam lailatulqadar atau 10 malam terakhir dengan melakukan amal ibadah dan banyak bersedekah,” katanya.
Pegawai Daerah Segamat Mohd Masni Wakiman turut hadir bagi mengetuai khatam al-Quran dengan bacaan surah lazim.
Mohd Masni Wakiman turut menerima cek cura Bantuan Hari Raya daripada wakil Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Segamat untuk diberikan kepada asnaf bernilai RM 906,850.00.
Majlis diakhiri dengan berbuka puasa dan solat magrib bersama Pegawai Daerah Segamat serta tetamu jemputan.
Turut hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Pemanis Anuar Abdul Manap, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat Yang Mulia Ungku Mohd Tahir Ungku Mohd Zakaria, Pentadbir Tanah Segamat Mohd Helimi Datuk Saári, Kadi Daerah Segamat Mohd Hamizan Sayuti dan Ketua-Ketua Jabatan Daerah Segamat.
-ZS-