Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Aktiviti Promosi Kesihatan di Bazar Ramadan Elak Keracunan Makanan

By 11 April 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhasirah Deris (Marang)

MARANG, 11 Apr (Malaysiaaktif) – Pejabat Kesihatan Daerah Marang telah menjalankan aktiviti promosi kesihatan secara berjadual dengan mengedarkan risalah dan bahan penerbitan di seluruh bazar Ramadan bagi menjamin keselamatan dan kesihatan pengguna.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Nurul Syazwani Yusof, berkata aktiviti sepanjang Ramadan kali ini mendapat kerjasama daripada Pejabat Penerangan Daerah Marang dengan menerangkan kepada pengunjung bazar Ramadan tatacara mengelakkan berlakunya keracunan makanan.

“Bagi mengelakkan berlaku keracunan makanan, pembeli perlu memilih peniaga yang memakai penutup kepala dan apron yang bersih dan tidak menggunakan tangan secara langsung untuk menyentuh makanan serta berkuku pendek dan bersih,” katanya.

Tambah Nurul Syazwani peniaga perlu memastikan mereka tidak memakai aksesori seperti gelang, jam dan cincin serta menjaga kebersihan diri, makanan dan gerai jualan.

“Semua yang ada di Bazar Ramadan Bandar Marang ini perlu memilih gerai yang bersih dari setiap sudut seperti makanan, kebersihan gerai dan juga kebersihan penjual bagi mengelakkan keracunan makanan,” katanya ketika mengakhiri taklimat.

Dalam pada itu, sebanyak 80 bekas bubur lambuk dan risalah telah diagihkan kepada pengunjung yang hadir Bazar Ramadan Bandar Marang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda