Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

30 Buah Sekolah Daerah Muar Bakal Berentap JESAWIL 2023

By 14 April 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Shazreen Suradi

MUAR, 14 Apr (Malaysiaaktif) – SWM Environment Sdn Bhd dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bakal menganjurkan Jelajah Sekolah Angkat Wira Lestari (JESAWIL) bermula 1 Mei hingga 31 Ogos ini.

Program tersebut akan dikendalikan oleh KITARecycle melibatkan 30 buah sekolah rendah yang terpilih di sekitar daerah Muar.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin, berkata program ini akan melibatkan lebih 9,000 orang murid dari daerah Muar dan Tangkak sebagai projek rintis untuk mengetengahkan maklumat tentang pentingnya sistem ekologi, aktiviti 3R (Reduce-Kurangkan, Reuse-Guna Semula, Recycle-Kitar Semula) dan pengurangan pelepasan karbon.

“Sebanyak 30 tan kutipan kitar semula melalui KITARecycle juga disasarkan dalam program ini.

“Terdapat lima kategori yang akan dipertandingkan iaitu Pertandingan Kutipan KITARecycle, Pertandingan Bercerita Wira Lestari, Pertandingan Bicara Berirama Wira Lestari, Pertandingan Penghasilan EcoBrick dan Pertandingan Kelab Usahawan Wira Lestari,” katanya.

Pengarah BSN Negeri Johor, Mohamad Zulkarnain Ismail, berkata BSN begitu teruja kerana dapat bekerjasama dengan SWM Environment dan UTHM serta berharap murid-murid akan lebih peka dalam menjaga alam sekitar.

“BSN telah menaja hadiah berupa Sijil Simpanan Premium kepada para pemenang nanti,” ujarnya.

Wakil Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor Musa Atan, berharap program ini dapat membentuk sahsiah diri murid dan mampu menjadi inisiatif bagi mengetengahkan isu alam sekitar dikalangan murid.

“Saya berharap penganjuran program ini dapat menyokong teras kelima dalam Belanjawan Negeri Johor iaitu Keselamatan, Kebersihan dan Kelestarian Alam Sekitar bagi melahirkan Johor sebagai negeri yang bersih, lestari dan mampan,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda