
Laporan/foto: Mohd Zahari Zakaria (Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PAUH, 15 Apr (Malaysiaaktif) – Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Pulau Pinang telah berlangsung di Dewan Besar UITM Cawangan Pulau Pinang, Permatang Pauh semalam.
Kehadiran Perdana Menteri sungguh mengujakan para penjawat awam daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang hadir untuk bersemuka secara langsung dengan beliau.
Anwar dalam amanatnya meminta semua penjawat awam memperbaiki, melakukan perubahan serta membawa semangat baru dalam perkhidmatan awam.
“Semua penjawat awam perlu mempunyai disiplin dan nilai yang tinggi dalam menjalankan tugas. Dalam bulan Ramadan yang mulia ini kita perlu ikhlas dalam amal seharian kita.
“Kerajaan Perpaduan merupakan tonggak baharu dalam pentadbiran kerajaan kini yang menekankan tata kelola dan urus tadbir yang baik dalam pentadbiran kerajaan. Rasuah perlu ditangani dan dibanteras,” katanya
Beliau juga meminta agar Kerajaan Negeri dipertahan dan diperkuatkan bagi memudahkan segala urusan dan program dengan Kerajaan Pusat.
“Gaji dan elaun penjawat awam juga dalam pertimbangan dan akan dinaikkan sekiranya kedudukan kewangan kerajaan stabil serta bertambah baik, katanya.
Hampir 2,000 orang penjawat awam hadir pada majlis amanat ini.
-ZS-