
Oleh Muhammad Rizal Redzuan (Kangar)
KANGAR, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Peningkatan suhu sebanyak 2°Celcius di permukaan Lautan Pasifik sejak hampir setahun yang dikenali sebagai fenomena El Nino memberikan kesan amat ketara kepada masyarakat di Kedah dan Perlis.
Selain pokok getah yang tidak dapat ditoreh hingga kepada pembuatan pekasam, ia juga menyebabkan pengeluaran buah mangga harummanis kebanggaan negeri Perlis tergugat. Ini kerana bunga mangga spesis tersebut tidak mampu bertahan di tangkai. Hampir semuanya menjadi kering dan gugur.
Pengusaha harumanis, Said Man, 59, berkata kebiasaannya mangga tanamannya mampu menghasilkan sekitar 200 kilogram setiap musim. Bagaimana pun, kali ini ada pokok yang menghasilkan tidak sampai 10 biji buah.
Menurutnya, tahun lepas harga jualan borong RM18.00 untuk sekilo dan hasil yang diperolehnya boleh mencecah sekitar RM3,500 bagi setiap pokok.
Dengan hasil yang dijangka tidak sampai 10 kilogram setiap pokok, beliau berkata pendapatannya pasti terjejas teruk.
Beliau berkata tahun ini amat berat buat petani kerana selain kemarau yang teruk, beras subsidi untuk petani juga telah dimansuhkan dan timbangan untuk ‘padi rosak’ dinaikkan sehingga 22 kilogram bagi setiap 100 kilogram yang dijual oleh petani kepada kilang padi.
Azemi berkata, cuaca panas melampau ini juga menyebabkan buah kelapa menjadi hitam seperti dibakar dan pokok pisang menjadi lecur.
Biasanya sepokok pisang menghasilkan setandang pisang yang dapat dijual dengan harga RM15.00 tetapi akibat kemarau teruk, daun serta umbut pisang pun tak dapat dimanfaatkan.