Oleh Wan Seman bin Wan Bedollah (Sabak Bernam)
SABAK BERNAM, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 40 orang ahli Komuniti 1Malaysia (K1M) Simpang 4, Bagan Nahkoda Omar, Sabak Bernam menjalankan khidmat masyarakat secara sukarela dengan menyertai Program Pembersihan Pantai Bagan Nahkoda Omar bermula pukul 7.30 pagi dan berakhir pada 9.00 pagi hari ini.
Menurut Pengerusi K1M Simpang 4, Bagan Nahkoda Omar, Anuar bin Bakri, program ini bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat dan pengunjung tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.
Menurut beliau lagi, inisiatif itu secara tidak langsung dapat mendidik orang ramai untuk bersikap lebih prihatin terhadap usaha memelihara dan mengindahkan kawasan sekitar terutama tempat tumpuan pelancong.
Inisiatif ini wujud berikutan segelintir masyarakat yang masih bersikap acuh tidak acuh apabila membuang sampah dengan sewenang-wenangnya di merata-rata tempat sehingga menimbulkan pemandangan yang kurang selesa.
Keadaan ini akan memberikan kesan buruk kepada pengunjung luar serta menjejaskan industri pelancongan negeri dan Daerah Sabak Bernam yang terkenal dengan keindahan pantainya yang menarik.
“Sehubungan itu, program sebegini digerakkan agar masyarakat setempat membuka mata dan mengambil rasa tanggungjawab untuk sama-sama menjaga khazanah alam yang tidak ternilai ini,” katanya.
Sekiranya berterusan keadaan itu dibimbangi akan mengurangkan kedatangan pengunjung sekali gus menjejaskan mata pencarian peniaga di kawasan pantai serta menjejaskan Pantai Bagan Nahkoda Omar sebagai destinasi pelancongan.
Pada akhir program, sebanyak 60 kilogram sampah berjaya dikutip.