
Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam
BATU PAHAT, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Lebih 300 orang mengibarkan Jalur Gemilang di dalam pusat beli-belah Batu Pahat Mall, di sini semalam bersempena Program Kibaran Jalur Gemilang 2023 Peringkat Daerah Batu Pahat.
Program dimulakan dengan sesi ceramah kenegaraan yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Batu Pahat Musliha Yusof kepada pelajar-pelajar daripada Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, Kolej Komuniti Batu Pahat, Institut Pendidikan Guru Tun Hussein Onn (IPTHO) Batu Pahat dan Polytech-MARA Batu Pahat.
Musliha Yusof dalam ceramahnya, berkata kibaran Jalur Gemilang ini adalah sebagai tanda menyambut Bulan Kebangsaan.
“Golongan belia perlu ada semangat patriotik di dalam diri. Anak muda Malaysia perlu menghayati semangat cintakan negara dengan menzahirkannya melalui kibaran Jalur Gemilang dan penghormatan ke atas lagu Negaraku.
“Tekad Perpaduan Penuhi Harapan telah dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan pada tahun ini mendasari pemimpin bersama rakyat bagi memupuk sebuah negara bangsa yang memiliki perpaduan tinggi dan bersatu padu, aman serta sejahtera,” ujarnya.
“Saya juga turut berasa bersemangat untuk menyambut kemerdekaan pada tahun ini,” kata pelajar ADTEC Batu Pahat Norafiqah Isnin, 20, yang turut menjadi pemenang Pertandingan Teka Silang Kata yang diadakan pada majlis tersebut
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Semerah Mohd Fared Mohd Khalid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang Tuan Haji Mohd Yusla Ismail, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Daerah Batu Pahat dan pemimpin-pemimpin masyarakat daerah Batu Pahat.
-ZS-