
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 7 Sep (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Anthony, Sarikei mengungguli Pertandingan Sketsa Rukun Negara 2023 Peringkat Sarawak apabila menewaskan SMK Julau dan SMK Jalan Arang pada peringkat akhir pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia di Auditorium Yayasan Sarawak, di sini semalam.
Sketsa bertajuk ‘Kenapa Ambil Satu Sedangkan Boleh Ambil Lima’ ternyata berjaya memikat juri sekali gus melayakkan SMK St Anthony membawa cabaran Sarawak pada pertandingan peringkat kebangsaan, Oktober depan.
Guru SMK St. Anthony Jeffrey Muyang, 26, berkata idea asal sketsa itu adalah cetusan beliau dan digarap bersama pelajarnya dengan semangat kesepakatan bersama.
“Kami telah memulakan latihan pada bulan Ogos dan latihan dipergiatkan sepanjang cuti persekolahan lalu.
“Penganjuran pertandingan Sketsa Rukun Negara ini dapat memupuk kefahaman terhadap lima prinsip Rukun Negara dalam kalangan pelajar yang berbilang kaum serta menanam semangat patriotisme dan cintakan negara,” katanya.
Penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
-ZS-