
Laporan/foto: Norsaedah Haron (Kluang)
KLUANG, 7 Sep (Malaysiaaktif) – Daerah Kluang bakal menjadi lokasi pertama di Malaysia yang memiliki sebuah bandar kereta api melalui pembinaan Kluang Heritage Railway Linear Park meliputi taman rekreasi yang merupakan satu lagi lokasi riadah baharu di daerah ini.
Pembinaan Kluang Heritage Railway Linear Park ini merupakan kerjasama strategik antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Majlis Perbandaran Kluang, SIPP-YTL dan Think City Sdn. Bhd. serta bakal dibangunkan di tapak landasan kereta api lama seluas 2.8 kilometer.
Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke Siew Fook, berkata pembinaan taman rekreasi ini telah diwartakan dalam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kluang Tahun 2030 yang berhasrat untuk mengubah landskap persekitaran kawasan tersebut bagi mewujudkan jaringan hijau dan menyokong pembangunan rendah karbon.
“Cadangan pembinaan taman rekreasi ini merupakan pendekatan serampang dua mata yang dilihat oleh RAC sebagai konsep baharu dalam penggunaan tanah-tanah kereta api sebagai kawasan rekreasi awam.
“Melalui pembentangan kertas cadangan ‘Kluang Railway Heritage Urban Regeneration Programme’ yang dicetuskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkibol Chew Chong Sin, tanah di bawah jejambat kereta api akan berubah wajah menjadi kawasan rekreasi yang lengkap dengan laluan bersenam, kawasan berhimpun, kiosk jualan, taman permainan dan kemudahan lain yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk setempat,” ujar beliau ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik bagi pembinaan Kluang Heritage Railway Linear Park di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah RAC dan Pegawai Daerah Kluang Haji Mohd Rafi Abdullah.
-ZS-