
Laporan/foto: Hanizatul Azwa Mat Lazim (Hilir Perak)
TELUK INTAN, 14 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 80 peserta terdiri daripada warga Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz (SMKSAA) menyertai Program Kayuhan Santai Malaysia Madani 2023 sempena ulang tahun kemerdekaan yang ke-66, di sini semalam.
Menurut guru Noor Hidayatul Shafira Saidon, warga pendidik Azizian telah bersama-sama menggembleng tenaga mengambil pendekatan yang proaktif dengan mengadakan program dan sambutan yang berkonsepkan patriotik mahupun kenegaraan bagi menyemarakkan semangat cintakan negara.
“Program ini bukan sahaja menyemai semangat patriotisme dalam kalangan peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur bahkan dapat membudayakan gaya hidup sihat,” katanya selaku penyelaras program.
Sementara itu, peserta Muhammad Daniel Mohd Amin, 17, teruja kerana berpeluang menyertai program kayuhan berbasikal kerana dapat bersama-sama menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
“Program ini juga dapat mengeratkan silaturahim dengan warga sekolah.
Pasukan keselamatan turut mengiringi kayuhan berbasikal sejauh 7 kilometer tersebut bagi memastikan keselamatan semua peserta terjamin,” katanya.
Turut hadir merasmikan program Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Pendidikan Teluk Intan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.
-ZS-