Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Karnival Tanah Daerah Jerantut Tawar Peluang Menarik

By 19 September 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azrul Azham

JERANTUT, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut akan menganjurkan Karnival Tanah Peringkat Daerah Jerantut Tahun 2023 pada  21 September ini bermula pukul 8.00 pagi di Dewan Utama Majlis Daerah Jerantut.

Dengan tema ‘Syukuri Nikmat, Laksana Tanggungjawab, Jelaskan Cukai Tanah Anda’, karnival ini diadakan untuk mempromosikan keputusan kerajaan negeri yang telah berbesar hati mengecualikan denda lewat kepada pemilik-pemilik tanah yang mempunyai cukai yang tertunggak.

Pegawai Daerah Jerantut Datuk Khairunnisa Aris, berkata penganjuran karnival ini merupakan sebahagian daripada libat urus kerajaan dalam memberikan advokasi kepada penduduk Jerantut berkaitan isu pengurusan tanah.

“Beberapa sesi taklimat juga akan diadakan melibatkan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang, Unit Pembahagian Pusaka, Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Pahang dan Unit Penguatkuasaan Bersepadu Negeri Pahang yang bertujuan berkongsi pengetahuan mengikut kepakaran dalam bidang masing-masing,” katanya.

Tambahnya lagi, bersempena dengan karnival ini juga, Majlis Daerah Jerantut turut menawarkan harga runtuh pengurangan kadar kompaun meletak kenderaan kepada RM10 sahaja bagi setiap kesalahan.

“Sebagai contoh, kadar kompaun yang dikenakan adalah RM100 tetapi pada 21 September ini sahaja, bayaran yang dikenakan adalah RM10 dan bagi mendapatkan kelayakan kadar kompaun yang istimewa ini pemohon perlulah mengemukakan bukti pembayaran cukai tanah dan cukai taksiran tanpa tunggakan,” katanya.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung seperti Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani selain pameran agensi kerajaan dan korporat serta gerai jualan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda