Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 590 pelajar Sekolah Menengah Seri Garing menerima pendedahan bagi proses mengundi pada ‘pilihan raya’ yang berlangsung hari ini.
Pilihan raya berkenaan merupakan simulasi oleh Akademi Pilihan Raya (APR) yang berkolaborasi bersama Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Daerah Gombak.
Pegawai Penerangan Daerah Gombak Khairul Shahrizal Ismail, berkata pendedahan melalui simulasi tersebut disertai mereka yang berusia 16 dan 17 tahun daripada Kelab Malaysiaku bawah kelolaan jabatan tersebut.
“Pelajar-pelajar yang terdiri daripada pemimpin serta ahli kelab ini diberi pemahaman berkenaan prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
“Ini merupakan aktiviti yang dijalankan secara praktikal kepada mereka untuk memahami proses demokrasi memilih seseorang pemimpin,” katanya ketika ditemui selepas Program Demokrasi Kita @ Kelab Malaysiaku, di sini.
Turut hadir Penolong Pengarah APR, Nomi Juliana Redzuna Min yang telah menyampaikan taklimat serta melakukan demonstrasi pengundi tersebut.
Menurut Khairul, pihaknya mendapat kerjasama erat daripada Akademi Pilihan Raya (APR) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak dalam menjayakan simulasi mengikut peraturan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Pelajar ditunjukkan proses bermula daripada semakan, menanda jari dengan pewarna, menanda kertas undi dan mengundi dalam kotak yang disediakan.
“Mereka turut dimaklumkan tentang peraturan yang perlu dipatuhi dan cara mengundi supaya tidak bimbang untuk menunaikan tanggungjawab mengundi sekali gus meningkatkan peratus keluar mengundi serta mengelak kertas undi rosak,” jelasnya.
Tambahnya, beliau berharap maklumat-maklumat yang disalurkan melalui kelab tersebut akan disampaikan secara lebih meluas kepada pelajar-pelajar lain oleh pemimpin-pemimpin kelab terbabit.
-ZS-