
Laporan/foto: Amielia Zulkifli/Mawarni Ismail (Kerian)
PARIT BUNTAR, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Majlis Hi-Tea ‘Jasamu Dikenang’ anjuran Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Daerah Kerian di Dewan Merdeka di sini pada Sabtu bertujuan mengumpul dana bagi tabung aktiviti persatuan tersebut di samping merapatkan ukhuwah antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini.
Pengerusi WI Daerah Kerian, Datin Wan Bahiah Abd Rahman berkata objektif utama majlis ini adalah untuk menghargai jasa pemimpin-pemimpin WI terdahulu kerana terus setia bersama pertubuhan ini sejak ditubuhkan pada tahun 1968 lagi.
“Syukur kerana program yang diadakan secara jualan meja amal ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila kesemua meja habis dijual,” ujarnya ketika berucap.
Wan Bahiah turut berkesempatan menyantuni pemimpin terdahulu pertubuhan tersebut dengan menyampaikan cenderamata.
Majlis juga dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik termasuk cabutan bertuah, tutorial tudung, pertandingan busana Saloma dan persembahan dari WI cawangan.
Hadir merasmikan majlis Pengerusi WI Negeri Perak Abaiyah Mohamed Alias.
-ZS-