Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Lebih 100,000 Pengunjung Banjiri Karnival Hari ATM 2023

By 16 Oktober 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Perak)

LUMUT, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai lebih 100,000 pengunjung membanjiri Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini sempena penganjuran Karnival Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2023.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam itu menyaksikan pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk demonstrasi dan pertunjukan ketenteraan melibatkan pesawat udara, pasukan maritim, Army Red Warrior dan anjing perang selain pameran aset kenderaan dan persembahan kawad senyap.

Pengunjung Mohd Hisham, 46, berkongsi rasa seronok dan terharu dapat menyaksikan pelbagai aset ketenteraan kerana sebelum ini ia hanya dilihat di media sosial dan kaca televisyen sahaja.

“Saya dan isteri turut berkesempatan merasai pengalaman menaiki bot TLDM yang begitu mengujakan walaupun terpaksa menunggu giliran hampir dua jam,” ujarnya.

Sementara itu pengunjung Faidah Mustapa, 35, berkata ini merupakan kali pertama dia dan keluarga hadir jadi perasaan teruja dapat dirasakan terutama oleh anak-anaknya.

“Saya bawa mereka ke sini untuk beri pendedahan awal berkenaan ketenteraan. Apa yang paling dinantikan adalah untuk melihat dengan lebih dekat kenderaan yang digunakan oleh ATM,” tambahnya.

Antara aktiviti yang menjadi tumpuan ialah lawatan kapal yang sentiasa dipenuhi orang ramai seawal lawatan bermula. Antara kapal terlibat ialah KD Hang Tuah, KD Jebat, KD Lekiu, KD Laksamana Tan Pusmah, KD Laksamana Tun Abdul Jamil dan KTD Penyu.

Pameran pelbagai agensi dan karnival jualan turut dibuka kepada pengunjung.

-ZS-

Tinggalkan komen anda