
Laporan/foto: Ruddy M. Hams/Siti Nor Syahirah Mohd Hashim (Petaling)
PETALING JAYA, 1 Nov (Malaysiaaktif) – Tiga tumpuan utama diberikan kerajaan menerusi Belanjawan 2024 iaitu memastikan tatakelola terbaik, demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan serta meningkatkan darjat hidup rakyat.
Menurut Georgina Liew Lee Ching daripada Pasukan Belanjawan 2024, Kementerian Kewangan Malaysia, kerajaan memperuntukkan 64 bilion ringgit untuk perbelanjaan subsidi dan bantuan, tetapi keperluan tahun ini dijangka mencecah 81 bilion ringgit.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab mengenai subsidi bersasar di program Taklimat Khas Belanjawan 2024 kepada pegawai serta kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Jabatan Kimia, Jabatan Meteorologi, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Chulia Facilities, di sini semalam.
“Oleh yang demikian kerajaan mengambil langkah memperkenalkan sistem subsidi bersasar pada tahun 2024 yang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa kini dan disifatkan sebagai satu langkah tepat demi menjamin kestabilan ekonomi negara,” katanya.
-ZS-