
Laporan/foto: Zaidy/JAPEN
PUTRAJAYA, 3 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyatakan Kerajaan MADANI akan memberi fokus dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini dengan memberi keutamaan dalam mendorong pelabur dalam dan luar negara membuat pelaburan di Malaysia.
Menurut beliau, amanat tersebut ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi mesyuarat pertama Jemaah Menteri bagi tahun ini yang diadakan hari ini.
Fahmi berkata menerusi mesyuarat itu, Perdana Menteri turut menegaskan terdapat keperluan untuk melaksanakan penyelarasan fungsi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Antara perkara yang ditegaskan ialah memudah cara dan mempercepat proses mendapat kelulusan terutama bagi pelaburan.
“Perdana Menteri turut tegaskan aspek kelulusan (pelaburan) perlu diberi keutamaan, bukan dilonggarkan..tetapi dipercepatkan,” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata perbincangan mengenai agensi yang akan diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital masih diteruskan di samping isu seperti Digital Nasional Bhd (DNB) pula belum diputuskan.
Beliau berkata status terkini berhubung pelaksanaan rangkaian 5G belum diperoleh dan perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Namun memandangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kekal di bawah Kementerian Komunikasi, maka Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan terus melaksanakan tugas sebagai pengerusi bersama pasukan petugas 5G.
-ZS-