
Laporan/foto: Muhammad Lukmannul Hakim/Nurulaini
KULAI, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Hujan berterusan semalam di negeri Johor terutamanya di Daerah Kulai telah mengakibatkan kejadian banjir di beberapa kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Tinjauan petugas lapangan Pejabat Penerangan Daerah Kulai mendapati Sungai Siam di Daerah Kulai telah melepasi amaran paras bahaya.
Satu pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 23 buah keluarga telah dibuka di Dewan Kampung Murni Jaya setakat pukul 2.00 petang semalam.
Mangsa banjir, Zaidah, 47, dari Kampung Murni Jaya yang ditempatkan di PPS Dewan Raya Sri Murni, berkata air naik sekitar pukul 9.00 pagi.
“Saya sudah bersedia menaikkan barang-barang di rumah pada pagi semalam dan meletakkannya di tempat lebih tinggi bagi mengelak kerosakan,” katanya.
Menurut Jabatan Metreologi Malaysia, Daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru berada pada tahap bahaya (merah) sehingga hari ini dengan taburan hujan berterusan berlaku di daerah yang dinyatakan.
Bantuan barang keperluan seperti makanan dan minuman turut diagihkan oleh Pejabat Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Permai Datuk Haji Mohd Jafni Md Shukor turut melawat PPS di Dewan Kampung Murni Jaya dan menyantuni mangsa banjir.
-ZS-