
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim/Noor Azian Saad
PENDANG, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Ramai wanita di luar sana sudah semestinya ingin kelihatan cantik. Akibat dari keinginan tersebut, ramai wanita yang terpedaya dan terpengaruh dengan pelbagai produk kecantikan yang diiklankan di media sosial.
“Kebanyakan mereka menggunakan produk yang mengandungi bahan terlarang tanpa membuat penyelidikan terlebih dahulu terhadap isi kandungan produk tersebut,” kata Ketua Penolong Pengarah Kanan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah Nurul Zahilla Azlan.
Antara inti pati ceramah ‘Nak Cantik Tapi Bahaya’ yang disampaikan kepada seramai 120 orang ahli-ahli Puspanita Daerah Pendang dalam satu sesi di Mesyuarat Agung Puspanita Daerah Pendang adalah pengenalan kepada bahan-bahan merbahaya yang terdapat dalam pembuatan produk kosmetik seperti hidrokuinon, merkuri dan tretinoin.
“Para pengguna boleh membuat semakan kandungan produk kosmetik dan ubat-ubatan di laman sesawang http://npra.moh.gov.my atau menghubungi Cawangan Penguatkuasa Farmasi di talian 04-7741000,” katanya.
Mesyuarat Agung Puspanita Daerah Pendang 2024 yang diadakan semalam telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pendang, Nasrun Datuk Mohd Sheriff yang juga merupakan Penasihat Puspanita Daerah Pendang.
“Saya berharap agar Puspanita ini dapat disertai oleh semua penjawat awam wanita serta isteri kepada penjawat awam dalam Daerah Pendang.
“Puspanita adalah satu platform yang baik untuk ahli-ahli saling berkenalan di samping dapat menabur bakti dan membuat kebajikan terutamanya kepada ahli-ahli sendiri,” katanya.
-ZS-