
Laporan/foto: Muhammad Nashran/Muhammad Hariz (Kampar)
KAMPAR, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Muzium Perlombongan Bijih Timah Kinta merupakan suatu institusi yang menghidupkan dan memperkenalkan kejayaan sekali gus cabaran yang dihadapi dalam sejarah perlombongan bijih timah di Malaysia.
Muzium ini terletak di Bandar Baru Kampar iaitu kira-kira 45 kilometer dari selatan Ipoh.
Dibuka pada 24 Oktober 2012, inspirasi untuk menubuhkan muzium ini datang daripada seorang bekas tauke lombong bijih timah Tan Sri Hew See Tong yang merintis perjalanan selama 40 tahun iaitu sejak tahun 1949 hingga 1989.
Menurut pengurus muzium Jacky Chew Seng Leong, 55, usaha kolaboratif bersama agensi kerajaan seperti Jabatan Muzium Malaysia, Jabatan Belia, Masyarakat dan Landskap dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuktikan komitmen mereka dalam merangka dan melaksanakan pelbagai aktiviti berkualiti berkaitan perlombongan bijih timah dan lain-lain aspek.
“Secara signifikan, pencapaian mendaftarkan syarikat ini dengan Jabatan Muzium Negara yang menjadikan entiti ini sebagai muzium telah mendorong semangat untuk terus menyumbang kepada warisan dan pembangunan masyarakat.
“Kami turut menyambut kunjungan dari pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk mengeksplorasi keunggulan dan cabaran dalam perlombongan bijih timah Malaysia. Bersama-sama, kita menjelajahi sejarah gemilang dan pembelajaran mendalam mengenai peranan penting industri ini dalam membangun negara,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambah Jacky, besar harapannya agar muzium ini menjadi sumber inspirasi dalam memberi kesedaran akan kejayaan dan cabaran dalam perlombongan bijih timah di Malaysia.
“Semoga muzium ini tidak hanya menjadi tempat pendedahan sejarah tetapi juga titik tolak untuk pemahaman mendalam mengenai peranannya dalam pembangunan negara,” ujarnya.
-ZS-