
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Wan Khairani Wan Husin (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Program kerohanian dan keagamaan yang kerap akan membantu mempertingkatkan pembinaan sahsiah dan keharmonian sesuatu masyarakat.
Ketua Komuniti Madani Kampung Teluk Ketapang Md Azmi A. Aziz, 66, berkata program kerohanian dan keagamaan dalam sesebuah komuniti setempat perlu diadakan dengan lebih kerap bagi memastikan pembinaan sahsiah dan jati diri masyarakat dapat diperkukuh.
“Sebagai seorang pesara guru, program-program keagamaan seperti ini memang baik untuk pembentukan sahsiah masyarakat ketika ini sekali gus memberi impak yang tinggi kepada keharmonian negara,” katanya.
Seramai 30 peserta terdiri daripada warga emas teruja apabila hadir di Program Tahsin Solat di Masjid Al Ansar Kem Seri Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir, di sini kelmarin.
Peserta program Kuliah Tahsin Solat Syarifah Awang, 66, berkata kehadiran komuniti setempat ke program penerapan nilai-nilai Islam seperti ini memberi impak yang besar terhadap pembentukan nilai integriti, amanah serta tanggungjawab kepada seseorang individu.
Seorang lagi peserta program Khadijah Muda, 63, berkata kehadiran beliau ke program ini pada setiap bulan adalah untuk mendapatkan ilmu agama secara terus melalui tenaga pengajar yang bertauliah.
“Menuntut ilmu agama perlu dilaksanakan secara konsisten dan dengan adanya kuliah agama seperti ini memudahkan golongan warga emas khususnya untuk menuntut ilmu berhampiran dengan rumah.” ujarnya.
-ZS-