
Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Berbekalkan matlamat dan keazaman untuk membantu pelajar sekolah rendah dan menengah yang mempunyai masalah dalam pembelajaran, satu Program Intensif membaca telah diadakan semenjak Disember tahun lalu.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Dr. Nor Hafizah Abdullah, 46, berkata seramai 20 sukarelawan yang terdiri daripada pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menyumbang tenaga dalam program ini bagi membantu pelajar-pelajar sekolah di daerah ini.
“Program yang dijalankan secara berkala ini bertujuan untuk membantu murid sekolah rendah dan menengah yang keciciran dalam menguasai kemahiran membaca dan menulis.
“Bukan itu sahaja, program ini juga dapat memberi peluang kepada kakitangan UniSZA untuk turun ke lapangan dan bertemu masyarakat bagi membantu serta melatih sifat kepimpinan dalam diri,” katanya, di sini semalam.
Peserta program Intensif Membaca Mohd Ilzhar Mouz, 13, berkata dia telah menyertai program membaca berkenaan sejak dua bulan lalu, kini tahap penguasaan membacanya semakin baik dan lancar.
“Sebelum ini saya tidak boleh membaca dengan baik, setelah meyertai program membaca ini, saya boleh membuat pengecaman dan menguasai huruf dengan baik serta berjaya membaca buku cerita dengan lancer,” katanya.
Seramai 25 pelajar yang terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri telah menyertai program ini yang diadakan semenjak tahun lalu.
Pelbagai aktiviti dan gerak kerja dilaksanakan bagi membantu memperbaiki prestasi pelajar-pelajar berkenaan.
-ZS-