
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)//Polis KL
KUALA LUMPUR, 4 Mei (Malaysiaaktif) – Jalan Sultan Ismail kini menjadi laluan dua hala bagi mengatasi isu kesesakan trafik di tengah-tengah ibu kota.

Anggota JSPT KL bertugas melancarkan trafik di laluan yang terlibat.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob, perubahan itu bermula di Persimpangan Jalan Raja Chulan sehingga persimpangan Jalan Bukit Bintang yang telah mula beroperasi sejak 1 Mei lalu.
Dengan pelaksanaan jalan dua hala itu, kenderaan yang melalui Jalan Sultan Ismail kini boleh terus ke Jalan Imbi dan sebaliknya.

Jalan Sultan Ismail kini menjadi laluan dua hala bagi mengatasi isu kesesakan trafik di ibu kota.
“Usaha ini merupakan cetusan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menangani isu kesesakan lalu lintas.
“Saya percaya dalam tempoh dua hari ini kita dapat lihat pengurangan kesesakan lalu lintas terutamanya di kawasan Bukit Bintang ini,” katanya ketika ditemui membuat tinjauan kelancaran trafik di sini semalam.
Katanya, dalam tempoh beberapa minggu ini pihaknya akan menempatkan seramai 20 anggota JSPT KL untuk memantau perjalanan aliran trafik di situ bagi membantu pemandu-pemandu yang masih belum biasa dengan keadaan aliran baru itu.
-ZS-