Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Perasmian Pembukaan SK Tunku Intan Safinaz Setelah Lapan Tahun

By 14 Mei 2024Mei 15th, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 14 Mei (Malaysiaaktif) – Yang Teramat Mulia Dato Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah telah berkenan menyempurnakan majlis perasmian Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Intan Safinaz, di sini semalam.

YTM Dato Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz dalam majlis perasmian semalam.

SK Tunku Intan Safinaz telah mula beroperasi pada 14 Jun 2015, namun perasmian pembukaan sekolah hanya dilaksanakan pada tahun ini kerana jalan masuk utama baru sahaja siap sepenuhnya.

Menurut Guru Besar SK Tunku Intan Safinaz, Asri@Mohamad Asri Mahmud pada awal pembukaannya, sekolah ini hanya beroperasi dengan khidmat 16 orang guru serta 168 orang pelajar dengan enam kelas Arus Perdana.

“Kini, selepas lapan tahun berlalu, sekolah ini mempunyai 18 kelas Arus Perdana, dua kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan dua kelas prasekolah.

“Keseluruhan enrolmen pelajar ialah seramai 612 orang dengan 44 orang guru dan enam orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP),” jelasnya.

Asri (kanan) memberikan penerangan berkenaan aktiviti yang dijalankan oleh pelajar.

Menurutnya lagi, sekolah ini telah didirikan atas justifikasi perlunya sebuah sekolah baharu disebabkan oleh kepesatan pembangunan dan lokaliti penempatan taman-taman perumahan di kawasan berdekatan.

“SK Pendang dan SK Tanah Merah mempunyai bilangan pelajar yang tinggi, jadi mewujudkan sebuah sekolah yang baharu adalah satu keperluan.

“Mulai 5 Mei 2019 nama awal sekolah ini adalah SK Pendang II namun ditukar kepada SK Tunku Intan Safinaz atas perkenan Tunku Puteri Intan Safinaz,’ jelasnya.

Turut hadir Pegawai Daerah Pendang Nasrun Datuk Mohd Sheriff, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jabatan Pendidikan Daerah Kedah Haji Mahadhir Ismail, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah PPD Pendang Haji Ahmad Zamberi Ahmad, pengetua-pengetua dan guru-guru besar sekolah dalam daerah Pendang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda