Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pasar Pagi ‘Vintaj’ Kampung Berjaya Menggamit Pengumpul Barang Lama

By 16 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ismail Hasan (Kota Setar)

ALOR SETAR, 16 Mei (Malaysiaaktif) – Pasar Pagi Kampung Berjaya bukan hanya sekadar pasar di bandar raya Alor Setar tetapi ianya mempunyai tarikan tersendiri khasnya kepada pengumpul barang-barang lama dan vintaj.

Pasar yang beroperasi setiap hari Jumaat bermula pukul 7.30 pagi hingga 12.30 tengahari ini bukan hanya sinonim dengan barangan antik dan terpakai tetapi turut menjual ikan, sayur dan barangan basah serta keperluan harian.

Barang-barang terpakai yang dijual di Pasar Pagi Kampung Berjaya.

Bagi yang pernah berkunjung sudah pasti merindui pasar vintaj ini yang menjadi lubuk barangan antik.

Menurut salah seorang peminat barangan antik Abdullah Ishak, 60, setiap awal pagi Jumaat beliau akan ke pasar tersebut.

“Hampir setiap minggu saya akan hadir melihat barang-barang antik yang dijual.

“Barang-barang antik ini akan mengembalikan jiwa muda saya kerana ianya mengingatkan kembali nostalgia pada zaman dahulu,” ujarnya kelmarin.

Basikal vintaj turut dijual di Pasar Pagi Kampung Berjaya.

Katanya lagi, pelbagai barangan antik dijual seperti keris, barangan tembaga, duit, peralatan pertanian, piring hitam, kaset, pasu, tempayan, basikal dan sebagainya.

“Tidak ketinggalan juga topi, beg, pakaian, periuk, mainan, barangan elektrik, cangkul, parang, topi keledar dan majalah terpakai turut dijual dengan banyaknya di sini.

“Lebih menarik lagi, harga yang ditawarkan amat berpatutan,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda