Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Debat Antirasuah IPT Bentuk Mahasiswa Berintegriti, Perangi Rasuah

By 10 Jun 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)/FB SPRM

SERI ISKANDAR, 10 Jun (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited dalam mencegah rasuah dan melihat pelajar universiti adalah generasi penting serta pelapis bakal pemimpin pada masa hadapan.

“Apabila pelajar ini tamat pengajian dari universiti, mereka akan terdedah dengan pelbagai pengaruh apabila berada di lapangan pekerjaan kelak dan penting untuk mereka diberikan pendedahan mengenai antirasuah.

Azam Baki (tengah) bersama pemenang Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024.

“Mahasiswa-mahasiswi adalah bakal pemimpin negara, justeru menerusi penganjuran Debat Antirasuah IPT diharapkan mereka dapat dibentuk daripada aspek integriti dan sahsiah yang baik dalam melahirkan pemimpin yang berkualiti,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 kali kelima di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), di sini semalam.

Program tersebut merupakan anjuran SPRM dengan kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM), UTP, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) dan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR).

Pertandingan debat asah kemahiran mahasiswa berfikir secara kritis dan berani suarakan pendapat.

Sementara itu, Naib Canselor UTP Prof Datuk Ir. Ts. Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, berkata dalam melahirkan graduan global yang serba boleh, UTP sentiasa menerapkan nilai-nilai integriti kepada pelajarnya.

“Pertandingan debat ini adalah platform terbaik bukan sahaja untuk memupuk nilai integriti malah dapat mengasah kemahiran mahasiswa berfikir secara kritis dan berani menyuarakan pendapat mereka mengenai isu-isu penting seperti rasuah dan integriti,” katanya.

Pertandingan itu menyaksikan Universiti Kebangsaan Malaysia muncul johan sekali gus membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM14,000, buku sumbangan DBP berserta sijil pencapaian.

Untuk rekod, pertandingan berlangsung selama tiga hari bermula 7 Jun lalu bagi pusingan awal, suku akhir, separuh akhir dan akhir.

-ZS-

Tinggalkan komen anda