
Laporan/foto: Muhamad Haizir (Langkawi)/Zamri Ibrahim (UKK LADA)
LANGKAWI, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Kepulauan Tuba dan Kepulauan Dayang Bunting diangkat menjadi salah satu Kampung Angkat MADANI di Negeri Kedah yang melibatkan kampung-kampung di Tuba Timur, Tuba Barat, Teluk Berembang, dan Lubuk Chempedak dan merangkumi kesemua kawasan ini.

Salah seorang wakil penduduk kampung menerima bantuan mesin pembersihan.
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Zamzuri Abdul Aziz, berkata Projek Kampung Angkat MADANI merupakan salah satu inisiatif kerajaan persekutuan bagi menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan menaik taraf sosial ekonomi dan infrastruktur di kawasan ini.
Beliau yang hadir bagi menghadiri Program Gotong-Royong Mega Kampung Angkat MADANI, di sini kelmarin turut menyampaikan sumbangan bantuan mesin pembersihan untuk setiap kampung yang terdapat di sini bagi memastikan tindakan terus dapat diambil oleh penduduk untuk kerja-kerja pembersihan.

Sekitar suasana sewaktu berlangsungnya program gotong-royong.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Lubuk Chempedak Mohamad Ratu Mansor, 48, salah seorang wakil penerima sumbangan bantuan mesin pembersihan, berkata dengan sumbangan ini, penduduk dapat menjalankan aktiviti pembersihan kampung dengan lebih kerap.
“Saya mewakili penduduk kampung mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana memilih kampung kami sebagai salah satu Kampung Angkat MADANI dan berharap bantuan dapat diteruskan di masa akan datang,” katanya.
Program Gotong-Royong Mega Kampung Angkat MADANI ini melibatkan lebih daripada 700 orang peserta terdiri daripada agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), badan sukarela, agensi swasta serta penduduk kampung.
Selain melakukan aktiviti gotong-royong, program ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara agensi dan penduduk setempat.
-ZS-