
Oleh: Ahmad Faiz Mansur, Azimee Abdullah & Sherul Nizam Zakaria (Balik Pulau)
BALIK PULAU, 19 April (Malaysiaaktif) – Biarpun berbeza dengan insan lain, ini tidak memberi pengecualian untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) bekerjaya. Namun begitu, masih ramai golongan OKU yang terpaksa berhadapan dengan peluang pekerjaan yang terhad.
Memberikan sinar baru, Stepping Stone Work Centre (SSWC) yang terletak di Pulau Betong di sini membantu golongan OKU dengan menyediakan tempat kerja untuk mereka yang mempunyai keperluan khas.
SSWC yang merupakan sebahagian daripada Asia Community Service (ACS) ini bertujuan untuk mengubah stigma masyarakat dengan menawarkan lebih peluang pekerjaan kepada golongan iniU.
Pusat ini memberi peluang kepada golongan OKU untuk mencari pendapatan melalui pelbagai cabang kemahiran kerja yang ditawarkan di pusat ini.
Antara bidang kerja yang ditawarkan adalah bidang tenunan kain untuk menghasilkan pelbagai produk seperti pakaian, alas meja serta cenderahati.
Turut disediakan, proses pembuatan batik yang dilakukan daripada awal proses sehingga terhasilnya kain batik tersebut. Terdapat juga proses pembuatan kertas yang dihasilkan daripada batang pisang untuk dijadikan kertas berkualiti tinggi.
Menurut penyelia SSWC, Hasra Othman, produk-produk yang dihasilkan di sini akan dijual di kawasan tumpuan pelancong sekitar bandaraya Georgetown.
ACS merupakan sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang mendapat pembiayaan dalam bentuk kewangan dan peralatan daripada badan bukan kerajaan dari Jepun, selain menerima sokongan serta kerjsama daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Dibuka pada Februari tahun 2000, kini SSWC mempunyai seramai 22 orang pekerja, terdiri daripada OKU yang tinggal di sekitar kawasan Balik Pulau.
– AH/SH