Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurWilayah Persekutuan

Mendepani Isu Belia Miskin Bandar

By 22 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Zaharah Ismail dan Azri Zainal Abidin

BUKIT BINTANG, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Berdasarkan kajian Institusi Pembangunan Belia Malaysia, 46.18 peratus belia berbelanja melebihi daripada pendapatan. Manakala hasil kajian daripada Jabatan Insolvensi Malaysia mendapati peringkat umur kemuflisan belia negara adalah sekitar 20 hingga 40 tahun. Jumlah ini kian bertambah tahun demi tahun dan menjadi permasalahan besar negara, jika tidak dibendung.

Demikian ucapan Pengerusi Biro Profesional Muda Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johari bin Yazid di Persidangan Perundingan Belia Peringkat Kawasan Parlimen Bukit Bintang malam tadi.

Belia miskin bandar adalah isu yang dihadapi pihak kerajaan pada masa kini. Kemiskinan bandar bagi golongan belia berlaku kerana kebanyakan mereka memilih untuk memulakan kerjaya dan tinggal di bandar. Selain itu, peluang pekerjaan yang terhad mewujudkan persaingan untuk mendapatkan gaji lumayan. Ada juga dalam kalangan mereka yang berpendapatan baik tetapi dibebani dengan kos sara hidup yang melebihi jumlah pendapatan.

Golongan belia hendaklah mempunyai sikap, perilaku dan pemikiran yang positif, mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran, berani menghadapi risiko dan menceburkan diri dalam perniagaan.

Pihak kerajaan telah mewujudkan Dasar Belia Malaysia dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan teknologi untuk pembangunan belia negara. Berkonsepkan mesra belia, pelbagai peluang pendidikan, bimbingan  dan latihan melanjutkan pelajaran serta skim pembiayaan yang berpatutan turut disediakan.

Tambah beliau, belia masa kini haruslah bijak mengatur perjalanan hidup dengan membuat perancangan awal bagi mengelakkan beban hutang yang tidak sepatutnya ditanggung menghantui diri di awal usia.

Golongan belia di negara ini berumur dari 16 hingga 40 tahun. Menjelang 2018, peringkat umur ini akan digubal menjadi 15 tahun sehingga 29 tahun sahaja.

Persidangan yang dihadiri seramai 200 orang  daripada Jabatan dan Agensi Kerajaan telah dirasmikan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang, Jefree Zain Affendi Dan Yunan.

-DK

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda