
Laporan/foto: Saiful Nizam Ibrahim/Zahid Othman (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Menerusi Belanjawan Johor 2025, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.22 juta untuk menaik taraf sekolah-sekolah yang berpotensi kepada Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin, berkata empat buah SRBJ yang dicadangkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2, Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4, SMK Tasek Utara dan SK Tasek Utara.

Aznan Tamin (pertama dari kanan).
“Sekolah rintis ini akan diberi keutamaan dari segi menaik taraf kemudahan sekolah seperti makmal komputer serta bilik sains yang lebih dinamik dan maju selaras dengan edaran semasa.
“Dari segi kerja-kerja membaik pulih akan dimulakan pada bulan ini dan dijangka siap pada bulan Februari tahun depan,” katanya ketika ditemui pemberita di SMK Tasek Utara, di sini semalam.
Tambah Aznan, dengan adanya SRBJ, kerajaan negeri berharap dapat melahirkan pelajar-pelajar cemerlang yang mampu menguasai Bahasa Inggeris serta memenuhi keperluan industri dan memiliki jati diri yang mantap.
Dalam pada itu, Aznan memaklumkan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di negeri Johor yang menduduki peperiksaan Ujian Bertutur Bahasa Melayu hari ini (Isnin) dianggarkan seramai 43,175 orang.

Aznan Tamin melihat persediaan calon SPM SMK Tasek Utara.
“Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Johor sentiasa mengambil maklum akan perubahan cuaca bagi menjaga keselamatan dan kebajikan calon yang terlibat banjir serta sekolah yang dinaiki air.
“Moga banjir di Johor tidak terlalu terkesan dan masih berada dalam keadaan baik,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Johor Mohd Kamal Ahmad Untong, Pengetua SMK Tasek Utara Mislina Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor Hishamuddin Abd Rahim.
-ZS-