
Laporan/foto: Safwan/Hafz (Tampin)
GEMAS, 14 Dis (Malaysiaaktif) – Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, telah mengadakan lawatan di daerah ini bagi penyampaian sumbangan bantuan bencana daripada Pejabat Perdana Menteri kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana banjir yang menimpa penduduk di daerah ini minggu lepas.

Shamsul ketika memberikan ucapan aluan bersimpati dengan mangsa bencana dan penghargaan kepada semua yang terlibat untuk membantu mangsa bencana banjir di Daerah Tampin.
Beliau mewakili Perdana Menteri telah hadir di Surau Mawaddah, Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah, di sini semalam bagi menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada mangsa-mangsa yang telah terkesan dengan bencana banjir yang berlaku.
Menurut Shamsul, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk terus mencari jalan dan berihtiar mencari penyelesaian bagi mengurangkan risiko berlaku bencana kepada rakyat dan negara melalui pelbagai alternatif seperti mendalamkan sungai dan memperbaiki sistem perparitan setempat dan lain-lain yang dirasakan sesuai disesuatu kawasan berisiko bencana.
“Kerajaan amat berterima kasih kepada agensi kerajaan, badan korporat dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya yang amat prihatin yang sentiasa membantu dan meringankan beban mangsa bencana melalui pelbagai sumbangan dan bantuan yang disalurkan,” ujarnya.

Isam menyambut kehadiran Shamsul sebelum Program Penyerahan Bantuan kepada mangsa bencana banjir berlangsung.
Untuk makluman, bantuan yang disumbangkan ini adalah inisiatif Skuad Ihsan MADANI daripada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri.
Program ini telah diselarakan oleh Jabatan Komunikasi Komuniti, Kementerian Komunikasi dan dibantu oleh agensi kerajaan setempat.
Turut hadir Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa, Ahli Dewan Undangan Negeri Gemencheh Suhaimizan Bizar, Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan Ustaz Nor Azman Mohamad Pengerusi Lembaga Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Lt. Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Naib Presiden Eksekutif MRCB Datuk Dell Akhbar Khan.
-ZS-