Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelakaViral

Mangsa Langgar Lari Rindu Terawih, Solat Raya

By 11 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 11 Jun (Malaysiaaktif) – “Abang rindu nak mendirikan terawih, dan mendirikan solat Aidilfitri ketika raya nanti, tapi abang taknak menyusahkan orang, kerana faham keadaan abang yang terpaksa solat duduk”

Demikian luahan Annuar bin Mohd Desa, 53 yang pernah terlibat dengan kemalangan langgar lari, sehingga tangan dan kaki beliau patah, sewaktu tercampak ketika menunggang motorsikal 3 tahun lepas.

Akibat dari kemalangan tersebut, tangan dan kaki beliau dimasukkan besi hingga menyukarkan beliau untuk melakukan aktiviti harian. Mujur masih ada tongkat berkaki dan kerusi roda peninggalan arwah ibunya, yang juga dijadikan pengubat rindu.

Hidup bersendirian di rumah yang senget dan dibina diatas tanah wakaf di Padang Temu, namun beliau bersyukur kerana dikelilingi jiran yang sudi singgah menghulurkan makanan setiap hari.

“Sebelum ini, adik yang sering menghantarkan makanan untuk abang, tapi sejak dah boleh berdiri dan berjalan, abang usaha masak sendiri untuk sahur dan berbuka kerana tidak ingin menyusahkan sesiapa,” ujarnya.

Tentang kenangan Aidilfitri, Annuar berkata dia sangat merindui rendang hempedal air tangan arwah ibunya, semasa hayatnya, juadah tersebut pasti ada disediakan di pagi raya.

Beliau yang sebelumnya bekerja dibengkel besi, terpaksa berhenti dan mengambil upah menjadi tukang sapu secara sambilan di pasar malam kerana perlu menumpukan perhatian menjaga ibunya yang ketika itu menghidap sakit kanser.

“Adik beradik yang lain sudah berkeluarga, dan mereka juga menetap di Melaka. Tapi mereka sentiasa bertanya khabar dan adakalanya menghantar abang ke hospital setiap 3 bulan untuk mendapatkan rawatan doktor,” kata Annuar kepada Malaysiaaktif ketika ditemui di rumahnya.

Tambahnya, doktor memaklumkan yang kakinya boleh dirawat dengan cara pembedahan, namun memikirkan kos yang perlu ditanggung, beliau melupakan sahaja hasrat tersebut dan juga tidak menghadirkan diri ke sesi terapi kerana tidak ingin menyusahkan adik beradiknya untuk menghantarnya ke hospital.

Malaysiaaktif turut bertanya jika beliau akan lebih selesa berada di pusat jagaan, kerana akan punya ramai teman untuk berbual dan doktor yang merawat,

“Abang redha dengan kehidupan sekarang, dan tak terfikir untuk menetap di pusat jagaan, sebab dah terbiasa hidup sendiri dan senang begini, lagipun bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sangat membantu untuk membayar cukai tanah sebanyak RM50 sebulan,” jelasnya.

 

-AAS 

Tinggalkan komen anda