
Oleh Diyana Zamri (Putrajaya)
KUALA KANGSAR, 14 Jun (Malaysiaaaktif) – Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi hari ini mengesahkan pihak polis telah menerima laporan yang dibuat terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli.
“Untuk laporan yang melibatkan Rafizi pada 9 hari bulan di ceramah Pakatan Harapan, kita telah buka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Ugutan Jenayah.”
“Kalau dia bergurau pun, ini adalah satu ugutan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Undian Awal DUN Bukit Chandan pagi tadi.
Menurut Abdul Rahim polis akan memanggil Rafizi untuk keterangan lanjut berkenaan isu ‘membaling bom atom’ ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak jika Pakatan Harapan menang pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar 18 Jun ini.
Beliau turut menasihatkan semua parti bertanding supaya berkempen secara aman.
“Saya nasihatkan kepada parti-parti yang bertanding ataupun ceramah-ceramah yang berlaku ataupun dijalankan di P.067 ini supaya tidak melibat, mengada ataupun membuat provokasi.
“Dan yang kedua jangan melibatkan isu-isu perkauman, keagamaan dan juga kebudayaan yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan, itu nasihat saya,” ujar Abdul Rahim.
Dalam pada itu, Abdul Rahim mengesahkan sehingga semalam, polis telah menerima sejumlah 16 laporan polis sejak hari penamaan calon pada 5 Jun lalu.
“Daripada 16 laporan tersebut, kita telah membuka sebanyak enam kertas siasatan. Pihak polis akan melengkapkan kertas siasatan ini secepat mungkin dan akan rujuk kepada Pengarah Perundangan Negeri untuk arahan lanjut,” katanya.