
Oleh Khairunnisa Abd Rahman
JASIN, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Dodol dan Aidilfitri sememangnya sinonim dan seakan tidak dapat dipisahkan saban tahun. Warga Sungai Rambai, Jasin juga tidak ketinggalan meneruskan tradisi mengacau dodol pada tahun ini yang berlangsung di Bangunan Seri Bestari, Sungai Rambai.
Aktiviti mengacau dodol ini dimulakan seawal 8 pagi dan berakhir pada pukul 3 petang. Tiada kedengaran keluhan keletihan sebaliknya masing-masing menzahirkan rasa seronok dan teruja khususnya buat mereka yang baru pertama kali menimba pengalaman mengacau dodol.
Tiga kawah dodol berjaya disiapkan semalam dan aktiviti Jom Kacau Dodol ini diketuai oleh Pengerusi Komuniti 1Malaysia DUN Sungai Rambai, Haji Hussin Muhamad, 46. Acara tahunan ini mendapat sambutan dan kerjasama yang baik daripada kalangan anak-anak muda Sungai Rambai.
Menurut Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Pengkalan Lambak, Rozikin Mohd Shah, 39, aktiviti sebegini dibuat setiap tahun tapi ada kalanya hanya buat bubur lambuk sahaja dan ia bergantung kepada jumlah bajet yang ada.
“Dengan adanya aktiviti ni bagi saya selaku Pengerusi Persatuan Belia, kami dapat berkenalan dan menjalinkan kerjasama dengan orang atasan agensi yang terlibat. Secara tak langsung dapat mengeratkan silaturrahim sesama mereka,” ujarnya.
Belia Sungai Rambai, Mohd Azzuwan Kamis, 24 pula berpendapat bahawa program ini baik khususnya untuk golongan muda seperti beliau.
“Saya sangat menyokong aktiviti ini diteruskan kerana dodol ni adalah warisan turun temurun. Kalau bukan kita, siapa pula yang nak jaga warisan nenek moyang kita ni,” tuturnya.
Tambahnya lagi, acara ni mengeratkan ukhuwah antara generasi lama dan generasi muda. Selain itu, dengan adanya program sebegini, ianya boleh mendedahkan mereka cara menghasilkan dodol tradisional ini supaya ianya tidak pupus ditelan zaman.
Program Jom Kacau Dodol ini melibatkan penyertaan daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai Barat, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Seri Pengkalan Lambak dan Komuniti 1Malaysia (K1M DUN Sungai Rambai.