Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

SICS 2025 Perkukuh Selangor Sebagai Hub Utama Ekonomi Penjagaan

By 5 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Afiqq Rahman (Selangor)

SHAH ALAM, 1 Mei (MalaysiaAktif) – Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor 2025 atau Selangor International Care Summit (SICS 2025) yang akan berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dijangka memperkukuhkan sektor ekonomi penjagaan yang masih baharu di Malaysia.

Sesi dialog bersama rakan media

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari, berkata SICS 2025 adalah aspirasi dan komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadi hub ekonomi penjagaan yang inklusif, mapan dan berdaya tahan di rantau Asia Pasifik.

Para hadirin di Majlis Prapelancaran SICS 2025 di Shah Alam Convention Centre

“SICS 2025 bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman semua pemegang taruh terhadap konsep ekonomi penjagaan yang masih kurang diketahui ramai.

“Melalui platform ini, kita dapat melaksanakan advokasi dan memberi pendedahan tentang kepentingan sektor ini kerana isu penjagaan menyentuh kehidupan setiap individu,” katanya.

Tambah beliau, acara ini juga akan menjadi landasan untuk menonjolkan industri penjagaan di Selangor melalui pameran produk dan perkhidmatan penjagaan tempatan sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kita mahu memacu pembangunan sektor ini demi kesejahteraan rakyat, khususnya warga emas, orang kurang upaya, kanak-kanak serta mereka yang memainkan peranan sebagai penjaga,” ujarnya ketika Majlis Prapelancaran SICS 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini semalam.

SICS tahun ini akan menampilkan empat komponen utama, forum untuk membincangkan isu dasar dan polisi (Care Forum), pameran yang mewakili pelbagai sektor penjagaan (Care Expo), Sesi Padanan Perniagaan (Care Business Matching) dan Sesi Dialog Terbuka (Care Townhall).

SICS 2025 dijangka menarik lebih 3,000 peserta yang terdiri daripada pemegang taruh tempatan dan antarabangsa, meliputi sektor awam, swasta, badan penyelidik, universiti, NGO serta komuniti penjagaan.

-AA-

Tinggalkan komen anda