
Oleh: Zuraidah Ahmad, Jeffren Malaning & Johny George Kimlon (Sabah)
PAPAR, 18 Julai (Malaysiaktif) –? Sabah bakal melahirkan para pengamal undang-undang adat yang kompeten menerusi Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN).
Menurut Presiden Mahkamah Anak Negeri (MAHEINS), Datuk Mohamad Alamin, bangunan institut yang terletak di Kg Kibabaig dekat Penampang itu, kini siap 90 peratus dan dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan.
Menurutnya, bangunan bernilai RM35 juta berkenaan dilengkapi dewan persidangan, motel untuk peserta kursus, ‘moot court’ dan pusat penyelidikan serta rekod berhubung undang-undang adat.
“Dengan adanya ILMAN ini, Sabah bakal melahirkan para pengamal undang-undang adat yang kompeten dan berkualiti yang bukan sahaja memahami undang-undang negara tetapi juga undang-undang anak negeri.
“Bangunan ini 90 peratus telah siap dan dijangka akan mula beroperasi pada awal tahun depan.
“Bangunan ini juga mempunyai dewan, motel, ‘moot court’ iaitu mahkamah olok-olok untuk para pegawai mahkamah menjalani latihan perbicaraan seperti mahkamah sebenar.
“Selain itu, bangunan ini dilengkapi pusat penyelidikan dan pusat untuk menyimpan rekod dan buku-buku panduan mengenai hukum adat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kg Melagui Kelatuan, pada Ahad.
Dalam pada itu, Mohamad turut mengumumkan komitmen pelabur yang akan mengubah landskap Pantai Kenangan Bongawan sebagai lokasi pelancongan.
Jelasnya, setakat ini lapan gerai akan dibina di samping beberapa lagi kemudahan asas yang bakal dibangunkan.
SF