
Laporan/foto: S. Shanmuganathan (Seberang Perai Tengah)
PERAI, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Ibu di Taman Kimsar diraikan dengan penuh bermanfaat apabila Komuniti MADANI Taman Kimsar bersama Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Perpaduan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai (JWPK) menganjurkan program kesedaran kanser payudara di Dewan Taman Kimsar, semalam.

Pengunjung tidak melepaskan peluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma
Berbeza daripada sambutan kebiasaan, program ini tidak hanya menyanjung pengorbanan seorang ibu malah turut memberi tumpuan dalam penerapan ilmu kesihatan khususnya dalam mengangkat isu pengesanan awal dan pencegahan kanser payudara.
Ceramah kesihatan yang menjadi tumpuan utama disampaikan oleh Ketua Jururawat Jabatan Pembedahan Hospital Seberang Jaya Jusnita Omar, yang berkongsi maklumat penting berkaitan tanda-tanda awal, kaedah rawatan serta langkah pencegahan penyakit yang menjadi antara pembunuh utama wanita di Malaysia.

Kehadiran penduduk setempat Taman Kimsar
Lebih menyentuh hati sesi perkongsian oleh Suguna Susan, 55, seorang bekas pesakit kanser payudara, membuka mata hadirin tentang kekuatan dalaman seorang wanita dalam menghadapi ujian penyakit yang mencabar itu.
“Saya pernah berada di titik paling rendah dalam hidup tetapi saya belajar bahawa harapan itu ada, dengan syarat kita berani mengambil langkah pertama untuk jalani pemeriksaan dan rawatan.
“Wanita mesti berani, yakin dan jangan sesekali menyerah,” ujar Suguna penuh semangat.
Menambah nilai kepada program, pemeriksaan kesihatan asas seperti tekanan darah, paras gula dan indeks jisim badan (BMI) turut ditawarkan secara percuma oleh pasukan NADI Perai.
Sambutan yang memberangsangkan daripada penduduk setempat jelas menunjukkan keprihatinan masyarakat terhadap isu kesihatan wanita serta komitmen dalam mengamalkan gaya hidup sihat.
-AA-