
Oleh Zuraidah Ahmad & Johny George Kimlon (Sabah)
SIPITANG, 26 Jul (Malaysiaktif) –? Petronas menerusi entiti petrokimia Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama kira-kira 10 ribu pengunjung di Esplanad Pekan Sipitang, pada Ahad.
Majlis dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri P Musa Aman, Ahli Parlimen yang juga Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad, Adun Sindumin, Ahmad Bujang dan Adun Lumadan, Datuk Kamrlin Ombi.
Musa ketika berucap menyeru rakyat agar mengekal dan mengukuhkan keharmonian antara kaum melalui sikap toleransi, menghormati agama dan budaya etnik yang ada di negeri ini.
“Perpaduan ialah kunci kepada kepesatan agenda pembangunan negara dan harus diperkukuh dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Berkenaan Projek Ammmonia Urea (SAMUR) yang dijangka akan mula beroperasi September ini, Musa berharap lebih ramai anak tempatan akan diberi keutamaan dan peluang sebagai pekerja.
Pada majlis itu, beliau diiringi Sapawi dan Ketua Pengarah Urusan/Ketua Eksekutif Kumpulan PCG, Datuk Sazali Hamzah menyampaikan sumbangan RM14,000 kepada tujuh buah surau dan masjid di sekitar daerah itu.
Surau dan masjid yang terlibat ialah Masjid Kg Kuala Mengalong, Masjid Kg Banting, Masjid Kg Luagan Sindumin, Surau An-Nur, Kg Sungai Tiga, Surau Kg Lubuk Darat, Surau Kg Siputol dan Suru Kg Sindumin Baru.
Turut disampaikan, sumbangan duit raya kepada lebih kurang 1,000 kanak-kanak yang hadir.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Petronas Chemicals Fertiliser Sdn Bhd, Mohd Iskandar Bakeri berkata sambutan kali kelima itu bertujuan mengeratkan silaturahim di samping menghargai sokongan dan komitmen semua pihak terhadap Petronas, khususnya SAMUR.