Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Skuasy-Beregu Wanita Terengganu Kalah Bermaruah

By 26 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Diyana Zamri / Foto: Maszuandi (Putrajaya)

KUCHING, 26 Jul (Malaysiaaktif) – Walaupun kalah kepada Kedah, pasukan beregu wanita Terengganu, Nurina Mohd Najib, 18, dan Syarifah Nur Aisyah Mohd Asrin, 14, tetap berpuas hati dengan pencapaian mereka memungut pingat perak.

“Kami tidak pernah membayangkan akan sampai ke akhir kerana kami hanya menyasarkan pingat gangsa sahaja. Tetapi kami amat berpuas hati dapat sampai ke final dan mendapat pingat perak. Kami kalah dengan bermaruah.

“Kami hanya yakin pada diri sendiri dan antara satu sama lain. Tidak kisahlah sama ada baru mula main atau sudah lama, tetapi semangat itu paling penting. Kami kekalkan semangat walaupun kami rasa kami tidak boleh. Semangat itulah punca kami dapat sampai ke akhir

“Sebenarnya, agak lambat untuk kami mendapat keserasian bermain bersama. Ketika latihan di Terengganu, kami tiada keserasian langsung. Datang Sarawak ini baru kami ada keserasian sedikit,” ujar Nurina.

 

Pencapaian terbaik Nurina ialah mendapat ranking ke-11 ketika British Junior Open (BJO). Mula bermain ketika tujuh tahun, Nurina mengatakan bahawa dia mula menceburkan diri dalam sukan skuasy ini akibat dorongan daripada ayahnya.

“Mula-mula bermain, saya tidak berminat langsung dengan skuasy tetapi dengan dorongan ayah, lama-kelamaan rasa minat itu timbul dan semakin menebal,” ujar Nurina yang menjadikan atlet Mesir, Nour El Sherbini sebagai idolanya selain Datuk Nicol David dan Loh Hui Yen.

Bagi Aisyah pula, yang merupakan pemain pinjaman dari Melaka berkata dia mula bermain ketika berumur lima tahun lagi.

“Saya mula berminat untuk bermain skuasy selepas melihat abang balik daripada latihan dan pertandingan. Dan selalunya, dia akan membawa balik cenderamata seperti beg dan baju, jadi saya pun hendak juga.

 

“Mula-mula main memang penat tapi sebab minat, kita jadi seronok dan menikmati sukan ini. Kini, saya sudah 10 tahun dalam sukan ini,” kata Aisyah yang berjaya mendapat tempat keempat pada kejohanan skuasy Gold Coast Australia.

Tambah Nurina yang kini merupakan pelajar jurusan Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, mereka bermain skuasy kerana mereka suka dan bukan sebab terpaksa. Jadi mereka tidak rasa tertekan dan turut menganggap sukan ini sebagai satu hobi.

“Dari segi pelajaran pula, saya akan berbincang dengan jurulatih terlebih dahulu. Jurulatih akan menyusun jadual latihan pada luar waktu kelas agar tidak mengganggu pelajaran saya. Kami akan berlatih pada waktu petang atau waktu malam,” jelasnya.

Mengulas tentang perancangan mereka pada masa akan datang, Nurina mengatakan mereka akan meneruskan latihan untuk bersiap sedia bagi SUKMA 2018 pula bagi peluang untuk merebut pingat emas.

Beregu campuran dijadualkan berlangsung pada 11.00 pagi hari ini di Stadium Skuasy, Petra Jaya.

 

-SF

Tinggalkan komen anda