
Oleh Siti Noorezrin Mahmod
Jempol, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Hujan lebat petang semalam mengakibatkan keruntuhan di laluan FT245 Jalan Serting Ulu – Air Hitam di sini.
Penutupan jalan melibatkan sepanjang 6.7km bermula dari persimpangan Pasoh hingga ke simpang Air Hitam.
Orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif, iaitu di laluan utama Serting 1- 4.
Menurut Jurutera Daerah Jempol, Rosdi bin Abu Bakar, Jabatan Kerja Raya daerah telah mengenalpasti punca kejadian.
Beliau berkata ia disebabkan pembentung Corrugated Metal Pipe (CMP) daripada zink runtuh disebabkan oleh hakisan dan karat.
Menurutnya lagi, sebelum ini pihak JKR telah mengenalpasti masalah dan dalam proses untuk menampal mendapan tersebut, tetapi belum sempat ia dilakukan, berlaku runtuhan.
Pihak JKR menjangkakan proses baik pulih jalan ini akan mengambil masa selama sebulan.
Kos kerja baik pulih jalan tersebut dianggarkan berharga di antara RM600, 000 hingga RM700, 000.
Sementara itu, papan tanda amaran diletakkan di kawasan berkenaan dan pemantauan dari semasa ke semasa dilakukan oleh JKR.