Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Tradisi Kacau Bubur Asyura Perkukuh Semangat Komuniti

By 12 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Fauzan Mahari

PASIR PUTEH, 12 Jul (MalaysiaAktif) – Tradisi mengacau bubur Asyura menjadi platform pengukuhan semangat perpaduan dengan penganjuran ‘Mari Ppakat Kaca Sugho Ore Kampong Kitooo’ oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Merbau, di sini hari ini.

Penduduk bergotong-royong menyiapkan bubur Asyura.

Program anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat itu menghimpunkan lebih 150 peserta terdiri daripada ibu bapa, guru, murid dan penduduk kampung.

Menurut Guru Besar SK Bukit Merbau Siti Mariam Yasin, sambutan yang menggalakkan membuktikan keakraban komuniti setempat dan mencerminkan nilai-nilai murni yang terus terpupuk.

“Program seperti ini mampu menyatukan pelbagai pihak dan sesuai dijadikan acara tahunan yang menyemai semangat gotong-royong serta kekeluargaan,” katanya.

Program Kacau Bubur Asyura.

Aktiviti dijalankan secara bergotong-royong bermula dengan penyediaan bahan, proses mengacau bubur secara bergilir dan pengagihan kepada warga sekolah serta masyarakat sekitar.

Tradisi kacau bubur Asyura yang lazimnya dikaitkan dengan peristiwa 10 Muharram itu turut terus mengingatkan umat Islam terhadap kisah-kisah agung Nabi Musa AS dan Nabi Nuh AS.

Yang Dipertua PIBG SK Bukit Merbau Mohd Zain Abdullah merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut, termasuk individu yang menyumbang secara ikhlas bagi menambah seri majlis.

-RI

Tinggalkan komen anda