Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Aspirasi Pahang 1st Pemangkin Negeri Maju, Terpimpin dan Terpelihara

By 12 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 12 Jul (MalaysiaAktif) – Pelancaran Aspirasi Pahang 1st menjadi titik tolak penting dalam agenda besar pembangunan negeri Pahang.

Wan Rosdy menyempurnakan gimik perasmian Aspirasi Pahang 1st.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata aspirasi berkenaan adalah hala tuju bersama seluruh rakyat dan jentera kerajaan dalam membawa negeri itu ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja sebagai negeri maju, tetapi negeri yang terpimpin dan terpelihara.

“Aspirasi Pahang 1st menuntut kita meletakkan daya saing dan inovasi sebagai nadi pembangunan negeri,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Aspirasi 1st di Dewan Tertutup SUKPA, Khamis lalu.

Katanya gerakan yang berakar daripada jati diri orang Pahang itu berpaksikan kepimpinan berwawasan dan digerakkan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Ia katanya untuk menjadikan Pahang terkehadapan dalam pembangunan, cemerlang dalam tadbir urus, lestari dalam isu alam sekitar serta teguh dalam nilai, budaya dan agama.

Pada majlis tersebut, Wan Rosdy turut mengumumkan penubuhan Akademi Pahang 1st yang akan berperanan sebagai pemangkin kepada pembudayaan ilmu, pembentukan kepimpinan masa depan, serta pembangunan kompetensi rakyat selari dengan tuntutan semasa.

“Akademi ini bukan sekadar institusi latihan atau pusat kursus sebaliknya satu wadah pembentukan jati diri anak Pahang yang memiliki ilmu dan integriti, disiplin dan daya saing, keberanian berfikir dan semangat kepimpinan, kesetiaan kepada negeri dan cintakan tanah air.

Antara yang hadir.

“Akademi Pahang 1st akan menjadi medan membentuk pemimpin akar umbi masa depan dalam kalangan belia, mahasiswa, penjawat awam muda, aktivis masyarakat dan usahawan supaya mereka bukan sahaja berfungsi dalam sektor masing-masing tetapi membawa aspirasi negeri secara bersepadu,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri meletakkan agenda pendidikan sebagai salah satu tonggak utama dalam aspirasi berkenaan, demi melahirkan rakyat yang berilmu, berdaya saing dan berjati diri tinggi.

“Kita mahu lahirkan ‘Rakyat Pahang Berjati Diri’, iaitu warga yang bukan sahaja tahu hak dan peranan mereka, tetapi juga sanggup memikul tanggungjawab membina negeri ke tahap lebih tinggi,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda