
Laporan/foto: Azrul Abdullah (Padang Terap)
PADANG TERAP, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Semangat gotong-royong dan tradisi warisan Melayu terus mekar apabila penduduk KEDA Bendang Tok Teri bersama-sama mengacau bubur Asyura sempena sambutan Maal Hijrah 1447H.
Program yang diadakan di perkarangan Surau KEDA Bendang Tok Teri, di sini semalam disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia, wanita serta warga emas.

Penyediaan bahan bubur Asyura yang bakal dimasak.
Aktiviti dimulakan seawal pukul 8.00 pagi dengan penyediaan bahan-bahan seperti kacang, jagung, pisang, keledek, santan dan gula merah sebelum dimasak secara beramai-ramai dalam kawah besar.
Menurut Ketua Komuniti MADANI KEDA Bendang Tok Teri Rashid Awang, program ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk, malah menghidupkan kembali amalan tradisional untuk generasi muda.
“Kita buat bubur Asyura ini bukan sekadar untuk makan, tapi untuk merasai nikmat berkongsi rezeki dan bersyukur atas kedatangan tahun baru Islam.
“Ramai juga yang berpuasa sunat hari ini, jadi bubur ini juga sebagai juadah berbuka bersama,” katanya.
Menariknya, bubur Asyura di Kedah dan sebahagian besar negeri di utara Semenanjung mempunyai keunikan tersendiri.
Teksturnya lebih likat, padat dan kurang manis. Ia dimasak lama dan perlu dikacau tanpa henti sehingga pekat, menghasilkan rasa lemak manis dengan gabungan pelbagai kekacang dan buah-buahan.
Berbeza pula dengan versi Kelantan, di mana bubur Asyura ditambah cebisan ayam atau daging, menjadikan rasanya lebih berempah dan kompleks.

Proses memasukkan bahan utama dan mengaul di dalam kawah sebelum dimasukkan santan.
Salah seorang penduduk, Zaleha Omar, 51, berkata setiap tahun beliau bersama komuniti tersebut akan saling bantu-membantu mengacau bubur.
“Kalau orang luar rasa bubur Asyura kita ni, ramai yang suka sebab padat dengan buah, keledek, jagung dan juga kacang.
“Tapi inilah bubur Asyura gaya utara, yang kita belajar dari mak-mak dulu,” katanya.
Bubur Asyura ini kemudiannya diagihkan kepada semua penduduk kampung yang berhampiran, sebagai simbolik perpaduan dan semangat muafakat menyambut awal Muharam.
-RI





