
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 12 Jul (MalaysiaAktif) – Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tawau mencatat sejarah tersendiri apabila meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-100, memperingati satu abad sumbangan kepada pembangunan pendidikan di daerah ini.
Majlis sambutan di Dewan Sri Pekan itu dirasmikan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Nizam merasmikan majlis ulang tahun ke-100 SK Bandar Tawau.
Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, beliau menzahirkan rasa syukur dan penghargaan terhadap sekolah tersebut yang turut menyimpan kenangan peribadi buat dirinya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk merasmikan sambutan 100 tahun ini. Ia amat bermakna buat saya secara peribadi kerana guru besar pertama sekolah ini pada tahun 1925 ialah datuk saya, iaitu bapa kepada emak saya. Malah, saya sendiri merupakan bekas pelajar sekolah ini kira-kira setengah abad yang lalu.
“Sekolah ini, yang dahulunya dikenali sebagai SRK Pekan Tawau, ditubuhkan pada tahun 1925 sebagai ‘government vernacular school‘, sebelum dinamakan semula sebagai SK Bandar Tawau,” katanya pada program tersebut di sini pada Sabtu.

Sekitar suasana majlis ulang tahun ke-100 SK Bandar Tawau, kelmarin.
Menurutnya, sepanjang 100 tahun penubuhannya, sekolah itu telah melahirkan ramai individu berjaya dalam pelbagai bidang profesional termasuk doktor, peguam, akauntan, pentadbir, ahli politik dan ramai lagi.
“Perjalanan suka duka sepanjang satu abad ini telah membentuk sekolah ini menjadi sebuah gedung ilmu penting bagi masyarakat Tawau. Saya berharap agar ia akan terus dipelihara sebagai institusi pendidikan yang dihormati.
“Laporan daripada Pejabat Pendidikan Bahagian menunjukkan bahawa sekolah ini mencatat peningkatan memberangsangkan dalam statistik pentaksiran tahap darjah dan UPSR dalam tempoh empat tahun terakhir. Ini satu perkembangan yang amat positif dan membanggakan,” katanya.
Nizam turut menyampaikan penghargaan kepada warga pendidik dan kakitangan sekolah, termasuk mereka yang pernah berkhidmat sejak penubuhannya pada tahun 1925, atas pengorbanan dan dedikasi dalam membangunkan sekolah tersebut.

Nizam melawat ke reruai yang menyingkap sejarah dan pencapaian SK Bandar Tawau.
“Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan sambutan ini, dan ucapan terima kasih kepada semua guru dan kakitangan sekolah yang telah berkorban masa dan tenaga demi kemajuan pendidikan anak-anak Tawau,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran warga sekolah, alumni dan komuniti setempat yang bersama-sama meraikan detik bersejarah 100 tahun SK Bandar Tawau, sebagai legasi pendidikan yang terus mencorak masa depan generasi akan datang.
-RJ-





