
Laporan/foto: Noor Aini
KANGAR, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terus meluaskan jaringan dengan menjadi rakan strategik masyarakat termasuk bersama Komuniti MADANI dalam meningkatkan ilmu digital kepada masyarakat setempat.
Menurut Pengurus NADI Sri Bakong Mohd Dzahir Daunian sehingga kini, sebanyak 73 program dan 12 program turun padang telah dilaksanakan.

Pengurus NADI Sri Bakong, memberi pencerahan berkaitan perkhidmatan NADI Sri Bakong.
“NADI bertujuan menyediakan capaian internet secara kolektif, memperkasa komuniti dan sebagai pusat sebaran maklumat kepada komuniti di samping menyediakan pelbagai program yang bertujuan meningkatkan pengetahuan penduduk setempat terutamanya bagi peningkatan ilmu digital.
“Kolaborasi antara NADI dan juga komuniti setempat termasuk Komuniti MADANI ini sangat positif bagi meningkatkan pemahaman isu semasa kerajaan kepada masyarakat setempat dari pelbagai sudut,” katanya.
Bertempat di Taman Sri Bakong, Jalan Sungai Bakong, menjadikan NADI berkenaan mudah diakses penduduk setempat yang ingin menyertai program-program yang dianjurkan.
Ia juga sebagai agensi tepat untuk berganding bahu bersama Komuniti MADANI terutamanya dalam membantu menyampaikan dan menyebarluaskan dasar-dasar kerajaan kepada penduduk.
“Selain itu, masyarakat awam boleh membuat urusan internet bersama agensi kerajaan seperti semakan e-Kasih, semakan rayuan Sumbangan Tunai Rahmah dan banyak lagi,” kata Mohd Dzahir selepas selesai program bersama JIWA@Komuniti MADANI (Kemasyarakatan) Indera Kayangan Barat, di sini semalam.
NADI berteraskan lima teras utama, iaitu Keusahawan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan dasar Kerajaan.
Dalam teras Pembelajaran Pepanjang Hayat terdapat kursus MAHIR secara atas talian yang boleh disertai oleh komuniti seperti MAHIR Pertanian Pintar. MAHIR Masak, MAHIR Foto, MAHIR Jahit serta MAHIR Baiki Gajet.
-RI





