Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Kem Kepimpinan Cakna Wibawa 2025: Cungkil Potensi, Amanah Anak Muda

By 14 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shahrizan Shahbudin/Mahyudin Rani

SUNGAI ACHEH, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 80 pelajar Tingkatan Tiga dan Empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Acheh telah menyertai Kem Kepimpinan Cakna Wibawa yang berlangsung di Kuala Haji Ibrahim, di sini kelmarin.

ADUN Sungai Acheh Rashidi Zinol hadir menyempurnakan majlis perasmian Kem Kepimpinan Cakna Wibawa 2025.

Program kepimpinan ini bertujuan membentuk generasi pelajar yang memiliki daya kepimpinan tinggi, seterusnya menjadi individu yang bertanggungjawab dan berwibawa dalam memimpin komuniti sekolah dan masyarakat pada masa hadapan.

Menurut Pengetua SMK Sungai Acheh Khairol Faizal Abdullah, kem ini berfungsi sebagai sebuah platform latihan awal yang penting dalam mencungkil bakat dan potensi kepimpinan pelajar sejak dari peringkat sekolah sehingga ke alam universiti.

“Ia memberi pendedahan berguna kepada pelajar agar mereka lebih peka dan memahami tanggungjawab sebagai seorang pelajar serta menjadi insan yang lebih baik dan berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Pengetua SMK Sungai Acheh percaya inisiatif ini dapat memupuk sifat kepimpinan dalam kalangan pelajar.

Tambahnya, selain memupuk semangat kepimpinan, program seumpama ini juga berupaya mengeratkan perpaduan dan silaturahim dalam kalangan murid, sekali gus memperkukuh semangat kerja berpasukan dan tolak ansur.

Majlis penutupan kem telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh Datuk Haji Rashidi Zinol, yang turut meluangkan masa menyantuni para peserta dan guru-guru pengiring.

-RI

Tinggalkan komen anda